Wednesday, 9 October 2013

Teori Usahawan Berjaya: Tahap Penerimaan vs Tahap Harapan

Jack Welch, CEO lagenda syarikat gergasi General Electric (GE) tidak sanggup untuk melihat mana-mana anak syarikatnya berada di kedudukan nombor dua dalam pasaran. Inilah antara sebab utama mengapa GE merupakan syarikat nombor satu selama ini.
Semua orang di dalam dunia ini mempunyai impian dalam hidup. Jika kita bertanya berapa ramaikah yang mahu menjadi jutawan kepada peserta program keusahawanan, sudah tentu hampir kesemuanya akan mengangkat tangan. Ini kerana jika ada peluang untuk merasai kehidupan sebagai jutawan, tiada seorang pun menolaknya.
Mereka yang tidak berminat untuk menjadi jutawan adalah mereka yang sering berasa rendah diri serta tidak mempunyai bakat dalam keusahawanan. Seandainya mereka ini turut diberikan peluang untuk mencapai tahap jutawan, pasti mereka akan memilihnya!
  • Ramai yang mengimpikan untuk tinggal di banglo mewah, belayar di lautan Carribean dan memandu kereta mewah model terkini. Tetapi pada akhirnya berapa ramaikah yang benar-benar berjaya mencapai impian tersebut?
  • Mengapa ramai daripada kita apabila mempunyai sesuatu impian, impian tersebut berkubur sebegitu sahaja dan mengapa pula hanya segelintir sahaja yang berjaya untuk menukarkan impian mereka menjadi suatu kenyataan?


Setelah pakar-pakar dalam bidang sains minda meneliti dengan lebih mendalam mengenai perkara ini, mereka telah menemukan jawapannya. Ia sebenarnya berpunca daripada dalam diri kita yang mempunyai ‘Tahap Harapan’ dan ‘Tahap Penerimaan’ dalam minda bawah sedar kita.

‘Tahap Harapan’ vs ‘Tahap Penerimaan’
Katakanlah anda mempunyai impian untuk mencapai pendapatan RM10,000 sebulan, dan ia merupakan ‘Tahap Harapan’ anda. Tetapi sebenarnya anda lebih sanggup hidup dengan pendapatan RM3,000 yang mana ia adalah merupakan ‘Tahap Penerimaan’ anda.
Jadi walaupun anda mempunyai impian yang besar, anda pasrah dengan pendapatan yang anda terima. Apabila mendengar orang yang menerima pendapatan RM10,000, anda dengan pasrah berbisik dalam hati “Ala, dah rezeki dia”. Perkara yang anda inginkan adalah ‘Tahap Harapan’ dan apa yang sanggup anda terima adalah ‘Tahap Penerimaan’.
Di antara kedua-dua tahap tersebut, yang mana satu lebih mudah kita capai?

Jelas sekali bahawa ianya ialah ‘Tahap Penerimaan’. Pada awalnya anda mungkin menetapkan matlamat untuk memperolehi RM10 ribu sebulan sebaliknya dalam masa yang sama anda sanggup untuk menerima RM3,000 sebulan. Pada akhirnya jumlah yang anda terima hanyalah sebanyak RM3,000 sebulan.
Secara umumnya, standard yang kita tetapkan dalam hidup ini banyak dipengaruhi oleh ahli keluarga, rakan-rakan dan orang sekeliling. Kajian menunjukkan bahawa seseorang biasanya menerima pendapatan kira-kira 10 peratus lebih atau 10 peratus kurang daripada orang yang berada di sekeliling mereka.
Dari perspektif lain pula kita ambil tentang isu hantaran kahwin yang juga banyak dipengaruhi oleh standard sekeliling. Di negeri-negeri pantai Barat Malaysia, hantaran kahwin berjumlah lebih kurang RM10,000 adalah standard, hatta untuk seorang gadis yang berkelulusan SPM.
Seorang teman yang saya kenali berasal dari Selangor berkahwin dengan seorang gadis dengan hantaran RM6,000 telah dicemuh oleh keluarga beliau sendiri. Menurut keluarga beliau hantaran beliau terlalu rendah dan mereka malu jika dikatakan tidak berwang. Di kawasan gadis tersebut, nilai hantaran sebegitu adalah biasa.
Persoalannya ialah bagaimana kita ingin mengubah ‘Tahap Penerimaan’ kita?

Berdasarkan contoh-contoh di atas anda sudah pun memperolehi jawapannya. Anda hanya perlu mengubah persekitaran, rakan dan komuniti kita. Untuk berpindah rumah mungkin satu tindakan yang agak sukar. Apa yang lebih praktikal adalah ubah persekitaran sosial anda iaitu dengan siapa anda bergaul.
Saya berikan satu contoh lagi berkaitan diri saya sendiri. Bukanlah niat bercerita ini untuk mendabik dada kerana ramai yang lebih hebat, tetapi sekadar ingin berkongsi pengalaman.
Saya baru lebih kurang setahun sebagai trainer sepenuh masa selepas meletakkan jawatan sebagai pensyarah dan sebelumnya sebagai guru. Walaupun baru setahun jagung, saya sudah muncul di majalah, mendapat tawaran muncul di radio dan televisyen, jemputan daripada organisasi besar seperti Jabatan Perdana Menteri dan sebagainya.
Kalau diikutkan standard bidang ini, apa yang saya capai biasanya hanya boleh dicapai oleh trainer lain yang berkecimpung sekurang-kurangnya 5-6 tahun. Strategi pencapaian saya adalah kerana saya bergaul dengan trainer yang secara purata berada dalam bidang ini selama 10 tahun. Saya banyak bertanya, belajar dan meniru cara mereka.
Sumber : Majalah Niaga

Senarai Terkini Orang Terkaya di Malaysia 2013

Assalamualaikum, senarai 20 orang paling kaya di Malaysia 2013 telah dikeluarkan oleh Majalah The Malaysian Insider berdasarkan aset pegangan syarikat pada 20/1/12. Tan Sri Syed Mokthar Al Bukhary kekal sebagai individu Melayu paling kaya dengan jumlah aset RM6.01 billion (2010), RM8.84 billion (2011),  RM9.53 billion (2012) kepada RM10.60 billion pada tahun 2013. Kedudukan Tan Sri Mokhtar keseluruhan top 20 orang paling kaya di Malaysia kekal di tangga ke lima keseluruhan.
Tan Sri Robert Kuok kekal sebagai orang paling kaya di Malaysia dengan kekayaan RM46.1 billion naik 0.88% berbanding jumlah aset beliau pada tahun 2012. Tan Sri Ananda Krisnan juga kekal sebagai orang kedua paling kaya di Malaysia dengan kekayaan berjumlah RM32.904 Billion.

 Screen Shot 2013 02 19 at 8.27.54 AM Top 20 Orang Paling Kaya di Malaysia 2013


Senarai 20 Orang Terkaya di Malaysia 2013

  1. Robert Kuok Hock Nien (RM46.1 bilion) (Kerry Group/Kuok Group)
  2. T Ananda Krishnan ( RM32.90 bilion) (Usaha Tegas)
  3. Tan Sri Teh Hong Piow (RM13.73 bilion) (Public Bank)
  4. Tan Sri Quek Leng Chan (RM11.09 bilion) (Hong Leong Group & Guoco Group)
  5. Tan Sri Syed Mokhtar Albukhary (RM10.6 bilion) (Al-Bukhary Foundation)
  6. Tan Sri Lee Shin Cheng (RM10.56 bilion) (IOI Group)
  7. Tan Sri Lim Kok Thay ( RM8.12 bilion) (Genting Group)
  8. Puan Sri Lee Kim Hua (RM7.23 bilion) (Genting Group)
  9. Tan Sri Tiong Hiew King (RM6.35 bilion) (Rimbunan Hijau)
  10. Ong Beng Seng (RM4.016 bilion) (Hotel Properties Ltd)
  11. Tan Sri Azman Hashim (RM3.84 bilion) (Arab-Malaysian Corp)
  12. Tan Sri Yeoh Tiong Lay (RM3.467 bilion) (YTL Group)
  13. Datuk Mokhzani Mahathir (RM2.669 bilion) (SapuraKencana Petroleum)
  14. Tan Sri Vincent Tan (RM2.256 bilion) (Berjaya Group)
  15. Datuk Desmond Lim (RM1.869 bilion) (Pavilion REIT)
  16. Datuk Lee Yeow Chor (RM1.742.47 bilion) (IOI Group)
  17. Lee Yeow Seng (RM1.699 bilion) (IOI Group)
  18. Tan Sri Lau Cho Kun (RM1.697 bilion) (Hap Seng Consolidated)
  19. Datuk Shahril Shamsuddin (RM1.64 bilion) (Sapura Group)
  20. Datuk Shahriman Shamsuddin (RM1.64 bilion) (Sapura Group)

Sumber : http://deselesahomestay.blogspot.com

Tuesday, 8 October 2013

8 Faktor Pemilik Bisnes Di Malaysia Tewas Awal Di Dalam Perniagaan

Satu perkembangan menarik di Malaysia apabila setiap tahun, lahir ramai usahawan berpendapatan tinggi tanpa mengira usia. Kisah kejayaan mereka banyak dipaparkan di media-media tempatan.
Contohnya….
"Pengusaha butik fesyen wanita catatan jualan RM430,000 sebulan."
“Menjadi jutawan Internet pada usia 25 tahun.”
“Usahawan kosmetik mencapai status jutawan pada usia 21 tahun.”
“Pengusaha butik fesyen wanita catat jualan RM 430,000 sebulan.”
Banyak lagi kisah kejayaan seperti di atas menjadi topik bualan di kalangan pemilik bisnes.
Di sebalik kisah tersebut, ramai juga yang gagal. Lambakan testimoni kejayaan yang dipaparkan media menyebabkan ramai membuat kesimpulan menceburi perniagaan ialah satu jalan pintas untuk mencapai kekayaan.
Hakikatnya, di sebalik kejayaan seorang usahawan, terdapat 100 lagi kisah kegagalan ‘disembunyikan.’
Kali ini, kami senaraikan 8 faktor utama pemilik bisnes di Malaysia tewas awal di dalam perniagaan. Faktor-faktor ini bukan mahu menakut-nakutkan pemilik bisnes, tetapi ia sesuai dijadikan panduan supaya risiko kegagalan awal dapat diminimakan.
1. Semangat palsu
Banyak pemain baru menceburi bidang perniagaan atas semangat untuk memiliki simbol mewah semata-mata. Motivasi mereka terletak pada kejayaan memiliki simbol-simbol tersebut. Apabila mereka berusaha bertahun-tahun dan masih gagal memiliki simbol tersebut, mereka cepat putus asa.
Pemilik bisnes seperti ini meletakkan kepentingan peribadi melebihi kepentingan bisnes mereka. Salah satu contoh tingkah laku mereka ialah, mereka menghabiskan sebahagian besar duit keuntungan syarikat untuk membeli simbol-simbol mewah supaya kelihatan kaya dari sudut luaran. Pada masa yang sama, kantung syarikat mereka miskin.
2. Tidak cukup ilmu bisnes
Ilmu bisnes yang betul bakal mempengaruhi cara membuat keputusan dan mengurus sesuatu bisnes. Terjun tanpa ilmu ibarat memperjudikan nasib. Banyak pemain baru lebih ghairah melaburkan modal puluhan ribu untuk memulakan bisnes daripada menghabiskan RM 100 untuk membeli buku-buku bisnes yang ditulis oleh pakar industri.
Dengan ilmu, risiko untuk duit hangus dapat diminimakan. Banyak kisah tragis yang berlaku akibat jahil bisnes seperti….
“Seorang guru kerugian duit pinjaman peribadi sebanyak RM 70,000 apabila butik pengantin yang dibuka tidak mendapat sambutan.”
“Seramai 50 peniaga mendakwa kerugian RM1.5 juta selepas ditipu sebuah syarikat yang menawarkan skim francais kedai serbaneka sejak setahun lalu.”
Di dalam dunia bisnes, ada golongan tertentu suka mengambil kesempatan terhadap golongan yang baru berjinak-jinak di dalam bisnes. Semakin kurang ilmu orang tersebut, semakin mudah untuk diperdayakan mereka.
3. Gelojoh membuat keputusan
Gelojoh di dalam membuat keputusan menyebabkan banyak tindakan awal yang tidak mengikut logik bisnes dilakukan. Pemilik bisnes seperti ini lazimnya membuat keputusan atas dasar ‘sangkaan yang baik-baik sahaja’. Lazimnya, keputusan ini di bawah pengaruh emosi ‘over-excited’.
Sebagai contoh, Puan Rasyidah (bukan nama sebenar) yang tidak pernah ada pengalaman berniaga menghabiskan RM 30,000 untuk membeli stok sebanyak 3000 helai tudung. Jika dilihat daripada pengalaman, Puan Rasyidah tidak pernah menjual hatta 100 helai sekalipun. Jangkaan Puan Rasyidah, semua 3000 helai tudung itu akan laku keras.
Tindakan ini lazimnya didorong apabila melihat ada pemilik bisnes lain berjaya menjual jumlah yang sama dengan mudah. Kesilapan di sini ialah, Puan Rasyidah hanya lihat hasil akhir. Beliau tidak melihat proses awal yang dilalui oleh pemilik bisnes tersebut. Perlu juga lihat faktor-faktor lain seperti pengalaman, lokasi, jumlah bajet pemasaran, tenaga kerja dan lain-lain. Proses meniru orang berjaya tidak hanya berdasarkan hasil akhir mereka, sebaliknya bermula dari proses awal.
4. Memulakan bisnes dengan duit pinjaman
Menggunakan kemudahan pinjaman bank untuk memulakan bisnes akan meletakkan pemilik di dalam situasi tertekan. Fokus mereka bukan lagi untuk mengembangkan bisnes, sebaliknya membayar hutang.
Ini menyebabkan wujud satu lagi ‘cabang tekanan’ yang tidak perlu pemilik bisnes tanggung pada peringkat awal. Duit pinjaman lazimnya digunakan untuk mengembangkan bisnes yang sudah stabil, bukan untuk memulakan bisnes.
5. Menyamakan wang bisnes dengan wang peribadi
Tidak tahu membezakan wang bisnes dan wang peribadi menyebabkan bisnes lebih mudah pancit awal.  Tindakan ini ibarat ‘mencuri’ wang syarikat sendiri.
Apabila tiba saat jualan merudum dan syarikat memerlukan bajet tambahan untuk pemasaran, duit syarikat tidak cukup. Wang yang ‘dicuri’ itu pula sudah habis dibelanjakan atas keperluan dan kehendak peribadi.
Teringat pesanan Pengasas Empayar Syed Bistro, Tuan Syed Kadir apabila ditemubual oleh Tim Majalah Niaga tempoh hari, “Jika untung RM 1000, guna RM 100 sahaja. Bakinya simpan dan sampai masa laburkan balik untuk kembangkan bisnes. Ini cara jika mahu berniaga lama berpuluh-puluh tahun sampai jadi legasi.”
6. Jangkaan palsu
Peringkat awal memulakan bisnes, sebahagian pemilik mengalami situasi ‘beginner’s luck’ iaitu jualan produk laku di luar jangkaan. Contohnya, sasaran awal jualan sebanyak RM 4000 meningkat drastik kepada RM 10,000 sebulan.
Ini adalah situasi biasa berlaku apabila menjual sesuatu produk yang menjadi ‘trend’. Walaupun dengan menggunakan satu saluran pemasaran dengan bajet yang minima, ia mampu menghasilkan jualan yang jauh melebihi sasaran awal.
Banyak pemilik bisnes yang mengalami situasi ini menjangkakan fenomena ‘jualan lebat’ ini akan berterusan hingga ke bulan-bulan seterusnya sehingga banyak duit dihabiskan kepada produk semata-mata.
Apabila graf ‘trend’ produk itu mula menurun, dan tiba masanya syarikat perlu menambah produk baru atau mengembangkan saluran pemasaran, duit di dalam kantung syarikat tidak mencukupi. Produk lama pula masih banyak yang belum dijual. Permintaan semakin lama semakin menurun. Lama kelamaan bisnes terpaksa ditutup.
7. Tidak berani mengambil staf
 
Sebahagian bisnes kecil dan sederhana tidak berani mengambil staf atas 2 sebab:
i. Isu kepercayaan.
Apabila bisnes sudah berjalan lancar, mereka tidak berani menyerahkan sebahagian tugas mereka kepada staf kerana takut berlaku kes pecah amanah dan ‘rahsia-rahsia keuntungan mereka terdedah’.
Tindakan ini tiada kaitan dengan kepentingan bisnes. Jika diperhatikan, bisnes yang berkembang baik pada hari ini mempunyai ratusan malah ribuan staf yang bekerja membangunkan syarikat. Syarikat seperti ini juga tidak merahsiakan perolehan syarikat kepada semua warga kerja. Tidak mungkin bisnes itu boleh bertukar menjadi empayar gergasi jika di dalam pejabatnya itu hanya ada pemilik bisnes dan tukang sapu sahaja bertugas.
Pemilik bisnes yang berjaya pada hari ini mereka tidak takut menghadapi isu-isu pengkhianatan di dalam bisnes. Mereka faham sistem delegasi kerja yang mantap amat penting untuk bisnes berkembang. Oleh itu, mereka belajar bagaimana  mahu mengurus kepercayaan sesama rakan kongsi dan staf supaya kes-kes negatif dapat diurus dengan baik.
ii. Isu kos.
Tidak dinafikan mengambil staf melibatkan kos yang tinggi. Bayaran KWSP dan Socso juga perlu diambil kira. Tidak hairan sebahagian pemilik bisnes yang sudah berjaya pada hari ini sanggup memperuntukkan gaji bulanan lebih kecil daripada gaji staf pada peringkat awal memulakan bisnes. Mereka sanggup mengikat perut supaya mereka dapat membayar tenaga mahir.
Dengan ini, mereka dapat fokus untuk mengembangkan bisnes daripada masih membuat kerja-kerja teknikal. Banyak bisnes bungkus awal disebabkan terlalu berkira untuk mengambil tenaga pakar yang terbaik di pasaran. Pada masa yang sama, tidak pula mereka berkira jika duit itu digunakan untuk memenuhi kehendak peribadi seperti membayar wang pendahuluan kereta mewah, membeli gajet-gajet terkini dan lain-lain yang tiada kaitan dengan kepentingan dan survival bisnes.
8. Tidak membuat perancangan spesifik
Bisnes tanpa perancangan ibarat sampan tanpa pendayung. Sebagai contoh, Encik Sirul (bukan nama sebenar) mula berjinak-jinak dengan menjadi pemborong baju kanak-kanak. Encik Sirul mensasarkan jualan tahun pertama sebanyak 200,000 helai. Namun, tiada perancangan spesifik yang dibuat oleh ahli pasukan En Sirul. Angka 200,000 itu tidak akan datang dengan keajaiban.
Salah satu contoh perancangan yang tidak dibuat ialah, En Sirul tidak membuat saringan awal seperti pecahan jualan setiap wakil negeri atau daerah yang perlu dicapai dalam masa setahun. Pecahan-pecahan jualan lebih kecil juga tidak dilakukan seperti sasaran jualan setiap bulan, setiap hari atau setiap jam. Malah, berapa wakil jualan yang perlu dilantik untuk mencapai sasaran jualan juga tidak dianalisa.
Ini salah satu sebab sebahagian pemilik bisnes tempatan masih terkial-kial walaupun sudah lama berniaga. Semua analisa kekuatan tenaga kerja dan angka-angka sasaran hanya bermain-main di dalam kepala. Ia tidak dikaji, ditapis dan direalisasikan terlebih dahulu di atas kertas.
Ilmu Bisnes – Senjata Ampuh Elak Gagal
Salah satu cara ampuh untuk meminimakan risiko kegagalan di kalangan pemilik bisnes ialah dengan berguru. Ilmu bisnes yang betul akan memandu setiap pemilik bisnes supaya tidak membuat kesilapan-kesilapan besar.
Ini adalah maklumat yang kami perolehi daripada blog HidupRingkas.com.
“Data daripada kajian yang dijalankan terhadap para usahawan kecil dan sederhana di Australia menunjukkan 70% daripada usahawan yang mempunyai mentor berjaya mengharungi perniagaan mereka melepasi tempoh 5 tahun.”
Data ini menunjukkan betapa pentingnya ilmu dan mentor bagi memastikan sesuatu bisnes itu bertahan lama. Secara asasnya, terdapat 3 cara menuntut ilmu bisnes.
i. Bekerja di dalam industri.
Bekerja untuk belajar, bukan sekadar mahu menerima gaji. Sebagai contoh, jika anda mempunyai keinginan untuk membuka pusat penjagaan kanak-kanak, cara mudah untuk anda memahami permainan bisnes ini ialah dengan cara bekerja dengan pemilik pusat penjagaan kanak-kanak yang sudah berjaya dan mampu bertahan lama di dalam industri.
Bekerja bertahun-tahun tidak mengapa, asalkan anda dapat belajar, faham dan kuasai apa ‘resepi’ sebuah perniagaan pusat penjagaan kanak-kanak yang berjaya.
ii. Buku.
Baca buku-buku bisnes yang ditulis oleh pakar industri. Buku-buku ini boleh didapati di kedai buku MPH, Popular, Kinokuniya dan lain-lain. Buku-buku ini sesuai dibaca kerana ia ditulis oleh pakar yang bergelumang sendiri di dalam bisnes, bukan ditulis berdasarkan kajian tanpa praktis atau teori semata-mata.
iii. Memilih guru bisnes.
Walaupun tidak berpeluang bekerja dengan mereka, anda boleh hadir mana-mana majlis ilmu yang mengumpulkan pemain-pemain di dalam industri. Di sini anda boleh menawarkan diri untuk menjadi anak murid kepada pengusaha bisnes yang sudah berjaya. Pilih guru yang sudah menempa kejayaan bisnes di pasaran terbuka. Banyak ilmu bisnes tulen yang anda boleh kutip dan hadam daripada mereka.

Ketiga-tiga cara ini mampu mengubah anda daripada seorang yang jahil kepada celik bisnes. Mudah mudahan dengan ilmu yang ada, kes-kes pilu di dalam dunia bisnes semakin berkurang.
Sumber : Majalah Niaga

Kenali Tan Sri Syed Mokhtar Al-Bukhary


Tan Sri Syed Mokhtar Shah bin Syed Nor Al-Bukhary merupakan seorang ahli perniagaan dan usahawan Melayu yang terkaya di Malaysia. Menurut majalah Malaysian Business beliau mempunyai harta bernilai RM2.93 billion pada 2005 seterusnya menjadi orang ketujuh terkaya di Malaysia pada 2005. 

Beliau dilahirkan di Alor Setar, Kedah pada 1951 Beliau memulakan perniagaannya sebagai seorang pengusaha daging pada tahun 1970. 

Beliau yang juga merupakan pemilik Yayasan al-Bukhary terlibat dalam perniagaan berasaskan perladangan, pembinaan, kejuruteraan, infrastruktur dan pelabuhan. Pada tahun 80-an, Syed Mokhtar telah beralih ke bidang pengangkutan yang telah membawa tuah kepadanya sehingga menjadi seorang antara tokoh korporat bumiputera yang terkaya di Malaysia.

Karier perniagaannya mula dikenali pada awal 90-an di Johor semasa Tan Sri Muhyiddin Yassin menjadi Menteri Besar. Beliau yang amat meminati bidang pengurusan dan pembangunan pelabuhan adalah salah seorang manusia yang bertanggungjawab menjadikan Pelabuhan Tanjung Pelepas, Johor menjadi terkenal di mata dunia dalam tempoh yang sebentar. Tidak lama kemudian, Syed Mokhtar telah mengasaskan Yayasan (Islam) Al-Bukhary yang telah membina dan menguruskan Muzium Kesenian Islam bernilai RM70 juta di Kuala Lumpur selain banyak menjalankan kerja-kerja amal dan kebajikan terutamanya sekitar Negeri Kedah dan Perak.

Syed Mokhtar juga merupakan pemilik kepada Syarikat Gulf International Investment Group Capital (GIIG) yang mempunyai kepentingan dalam Projek Hidro Elektrik Bakun. Di samping itu, beliau mempunyai kepentingan dalam beberapa buah firma terkenal Malaysia seperti Malaysia Mining Corporation Berhad (MMC), PERNAS, Padiberas Nasional Berhad, Malakoff Berhad, Seaport Terminal Johor Sdn. Bhd., Johor Port Berhad, Impian Teladan Sdn. Bhd., Indra Cita Sdn. Bhd. dan banyak lagi. 

MMC telah bergabung dengan Gamuda Berhad dan berjaya mendapatkan projek landasan keretapi berkembar bernilai RM14.5 billion sebelum ianya dibekukan oleh kerajaan kerana faktor pemulihan ekonomi. Syed Mokhtar juga dikatakan telah membeli kepentingan majoriti dalam Lapangan Terbang Antarabangsa Senai, Johor. 

Sumber: Wikipedia Melayu

Latarbelakang Ringkas Syed Mokhtar 
Tahun lahir : 1951 Pendidikan: SPM Mula berniaga: umur 19 tahun (jual beli lembu dan kerbau) Kekayaan: RM1,425 juta Ke 7 terkaya di Malaysia Ke 32 terkaya di Asia Tenggara (Forbes) Antara syarikat miliknya: MMC, Pelabuhan Tg. Pelepas, BERNAS, Gardenia, DRB-HICOM dan Bank Muammalat Kereta: Proton Perdana 

Petikan kata-kata Y. Bhg Tan Sri Syed Mokhtar Al-Bukhary

Sumbangan sosial 

Yayasan Al-Bukhary, institusi pengajian untuk 3,000 pelajar, Muzium Kesenian Islam, Kompleks Al-Bukhary, menaja kelas tuisyen untuk pelajar Melayu, pengindahan Masjid Negara, sumbangan RM1 juta untuk Tabung Tsunami dan menaja setiap tahun penghantaran rakyat Malaysia yang tak mampu untuk tunaikan haji.

Bagaimana sumbangan sosialnya bermula? 

Bila mana ibunya menyuruh memberikan sebahagian elaun (RM750.00) pertamanya sebagai pengarah syarikat beras kepada jiran yang susah. Sebahagian lagi (RM750.00) ibunya simpan. Selain itu, ibunya juga menyuruh beliau menghantar lampu kerosen ke surau-surau untuk menerangi kegiatan sepanjang malam bulan Ramadhan. Dari situ bermulalah pembentukan peribadi dan pemikiran Syed Mokhtar yang kita kenali hari ini. 

1. Ada sebab kenapa saya bekerja seperti tiada hari esok. Agenda sosial dan kerja-kerja kemasyarakatan itulah antara sebabnya. Saya mahu meninggalkan warisan untuk anak bangsa yang kekal berpanjangan. 

2. (berkenaan know who) Bangsa lain tak mengapa tapi orang Melayu kena berdamping dengan orang politik sedikit-sedikit. Tapi masalahnya kita tidak mahu melalui kesusahan; banyak yang mahu senang dengan mendampingi orang politik semata-mata. 

3. Tiada apa-apa rahsia. Saya ini hamba Allah biasa, budak dangau macam saudara semua juga. Tuhan jadikan manusia ini sama sahaja. Proses kematangan saya yang membezakannya. Saya percaya sesiapa pun boleh menjadi apa sahaja asalkan mereka berusaha dengan tekun. Tetapi tentulah ia memakan masa. Tiada jalan singkat. 

4. Saya mengenali kekuatan dan kelemahan saya. Apa yang tidak mampu buat saya akan minta orang lain tengok-tengokkan. Saya melalui jalan yang susah tapi itulah jalan yang kekal. 

5. Kita perlu menggunakan kepakaran mereka (bangsa Cina) kerana mereka jauh lebih maju dan mahir daripada kita. Apa yang kita kurang faham kita berkongsi dengan tujuan untuk belajar dengan mereka. Apabila sudah faham baru kita boleh menjaga kepentingan kita. 

6. Saya sedih melihat sistem sekolah pondok di Kedah. Saya ada cita-cita mahu memodenkan sekolah pondok. Kita kena maju. 

7. Saya terlibat dalam perniagaan ini kerana saya tiada pilihan lain. 

8. Untuk memajukan perniagaan, memang kena banyak sabar dan kuat berusaha. 

9. Tidak ada jalan singkat. Saya belajar tentang perniagaan ini sejak kecil lagi dan saya juga biasa kena tipu. 

10. Saya pun suka kemewahan. Saya pun suka tengok dunia, ke Tokyo, New York dan London. Saya pun suka pakai baju elok. Tapi kita hendak bermewah setakat mana, hendak pakai baju banyak mana, hendak tidur dalam berapa rumah satu malam, hendak makan pun sampai larat mana? 

11. Dalam hidup ini kita sebenarnya tidak ada status; ada masa di atas, ada masa di bawah. 

12. Ketika Allah memberika kemewahan, kita kena turun ke bawah, tengok mana-mana yang boleh dibantu. Allah beri rezeki melalui kita untuk kita tolong orang lain. Rezeki itu bila-bila masa dia boleh ambil balik. Jika ada orang korporat Melayu yang tidak mahu turun ke bawah mungkin kerana bayangan duit itu lebih kuat daripada yang lain. 

13. Korporat Cina turun ke bawah membantu. Orang Cina ada pelbagai persatuan. Kita tidak ada; kalau ada pun berpecah. Orang Melayu kita tidak mahu bekerjasama kerana perasaan dengki menguasai diri. Sudahlah tak mahu berusaha, apabila orang lain berusaha mereka marah. 

14. Rezeki yang ada itu sebenarnya untuk orang lain. Memang dari segi hukum pun begitu. Kita kena keluar zakat dan fitrah. Tetapi zakat fitrah banyak mana sangat. Islam agama yang adil; ia minta sedikit saja. Oleh itu, kalau ada duit yang lebih ia seharusnya dibelanjakan dengan baik. 

15. Saya tak kisah kalau saya tak buat semua ini. Saya boleh tak buat apa-apa dan balik ke Alor Star. Tetapi saya rasa hidup ini sia-sia. Orang Kedah kata kalau mati nanti mata tidak tutup rapat kerana tanggungjawab depan mata kita tidak buat. Orang lain ambil kekayaan kita, ambil hak kita dan pergunakan kita, kita masih tidak buat apa-apa ! 

16. Saya ada emotional attachment kepada agama, bangsa dan ummah. Saya bukan individualistik. Diri saya tidak penting. Pangkat dan gelaran ini kepada saya tidak mustahak. 

17. Saya sedih media tonjolkan saya begini. Saya malu kerana orang Cina kaya beratus-ratus kali ganda daripada saya. Tapi saya tahu orang Melayu kalau hendak berjaya kena kerja kuat tidak kira siang malam. Kita ada kekuatan yang tuhan beri melebihi daripada bangsa lain. Tetapi untuk maju kita perlu berusaha. 

18. Saya asal daripada tidak ada apa-apa. Apa yang saya tidak tahu saya belajar, minta tolong daripada orang. Saya tidak malu. Saya bukannya mencuri. Saya usaha sendiri. Sikap pemalas dan pemalu ini yang orang Melayu kena atasi. Kita kena berani kerana benar. Apabila kita dapat keuntungan dan rezeki lebih, bolehlah kita menolong orang. 

19. Kaya itu bukanlah kepada diri sendiri. Kaya itu adalah kepada kumpulan perniagaan ini, kepada bangsa dan kepada orang ramai. Saya hanya memegangnya untuk sementara sahaja. 

20. Saya tiada keinginan untuk menyimpan kekayaan ini untuk anak dan isteri. Duit ini tidak akan kekal. Saya percaya hanya perkara yang baik yang kita lakukakan akan kekal. Bukan duit yang akan melindungi saya nanti tapi apa yang saya lakukan sekarang. 

21. Saya perlu terus mencari peluang dan perniagaan lain supaya kita terus dapat bantu orang lain mengembangkan diri masing-masing. Saya bukan buat semua ini untuk diri saya semata-mata. 

22. Ada juga yang saya usaha tapi tak dapat dan orang tak tahu. Apa yang saya dapat itu yang jadi masalah kononnya Syed Mokhtar sapu semua. Bangsa lain memegang pelbagai kepentingan dalam ekonomi, siapa pun tak kata apa. Ini masalah orang Melayu. Di kampung orang Melayu berpecah kerana politik, di bandar berpecah kerana ini (wang). 

23. Saya percaya kalau rezeki itu Allah beri kepada saya ia bukan untuk saya tetapi untuk orang ramai juga. Orang tidak tahu banyak syarikat yang saya ada ini gagal dan tidak maju kepada saya tetapi orang tidak tahu. 

24. Banyak orang percaya bahawa dia mesti ada RM10 juta atau RM20 juta dalam tangan baru hidup boleh selamat. Ini yang menyebabkan mereka hanyut daripada menolong orang lain. Mereka lebih takutkan diri sendiri. Mereka lupa bahawa kekayaan tidak boleh membantu selama-lamanya. 

25. Orang kata saya takda duit tapi banyak hutang. Orang berniaga mana yang tak berhutang. Tapi mesti tahu bagaimana hendak meminjam dan membayarnya semula. Ada cara boleh kita buat. Tapi sebelum berhutang RM100 juta mesti sudah fikir bagaimana hendak membayarnya balik. Mesti ada tanggungjawab. Banyak orang mahu senang tapi tidak ramai yang mahu bertanggungjawab. 

26. (perasaan setiap kali mendapat rezeki) . Saya ini kata orang Kedah, lebai kodok bukan lebai pondok. Tapi saya tahu hal-hal asas. Kalau mahu saya minta terus dari tuhan. Tuhan beri manusia akal dan fikiran. Kalau hendak pakai baju dan seluar biarlah padan dengan badan. 

27. Kesenangan yang saya perolehi ini datang dengan tanggungjawab (bila pinjam bayar balik dan buat amal jariah). Kalau hendak dibandingkan dengan bangsa lain, perniagaan saya ini tidak ada apa. Tetapi walaupun sedikit tetapi yang sedikit itu ada berkatnya. 

28. Saya suka kalau nikmat sedikit yang saya dapat itu orang lain boleh berkongsi sama. 

29. Saya kadang-kadang kecewa dan sedih melihat anak orang alim yang sesetengahnya lupa diri setelah mendapat kekayaan. Saya pun sama seperti orang lain suka hendak ke luar negara tetapi kita tidak boleh lupa kubur kita dan asal usul kita. Di kampung kita mungkin ada jiran-jiran yang perlukan bantuan. 

30. ......kalau tidak mungkin saya sudah ke Haatyai dan jadi nakal. Saya manusia yang banyak buat kesilapan. Tetapi saya insaf, beristighfar dan jalan lagi. Sejak awal saya ada kesedaran mahu mengekalkan hak kita sebagai orang Melayu. 

31. Saya kata kepada diri sendiri kalau kerana itu saya terpaksa bersusah sedikit pun tidak mengapa. 

32. Kekayaan ini tuhan beri kepada saya untuk saya menolong orang lain pula. Saya percaya kepada keberkatan rezeki. Hari ini kita tolong orang, esok lusa orang akan tolong kita pula dengan cara yang lain. 

33. Kalaupun tidak sanggup tunggu 34 tahun seperti saya berilah sedikit masa untuk faham selok belok perniagaan, Insya Allah boleh maju. 

34. Kita jangan cepat putus asa. Putus asa boleh tapi kena cepat-cepat kuatkan semula semangat untuk bangkit balik. Jangan jadikan agama hanya satu tempat untuk kita bergantung apabila kita susah. Tanggungjawab ibadah adalah tugas seharian. 

35. Lifestyle ? Saya tidak ada lifestyle yang kena masuk kelab sana dan sini. Tapi tak semestinya saya tidak boleh turun ke kelab. Orang Melayu kalau hendak ke depan mesti ada cara hidup yang fleksibel, boleh naik dan turun. 

36. Lifestyle ini sebenarnya satu penyakit. Saya biasa pakai Mercedes tapi sekarang saya pakai Proton Perdana untuk sokong kereta nasional. Kereta itu pun cukup untuk bawa saya ke mana-mana. 

37. Tiada sebab orang kenapa Melayu tidak boleh maju. Ini saya berani perang dengan sesiapa pun. Orang Melayu boleh maju. Kalau saudara jadi wartawan saudara kena tanam semangat suatu hari nanti mahu ambil alih akhbar ini. Tidak ada sebab kenapa ia tidak boleh berlaku. 

38. Kejayaan dan kelemahan orang Melayu bukan disebabkan oleh bangsa kita dan agama kita. Ia berkait dengan sikap dan cara kita berfikir. Gigih, tekun dan tidak mudah putus asa merupakan kunci kejayaan kita. Tapi perkara ini kurang wujud dalam cara orang Melayu berfikir. 

39. Tuhan memberi peluang kepada siapa saja yang bekerja kuat. Apa yang ada pada saya ini hanya usaha. Kalau anak dangau macam saya boleh, tidak ada sebab orang lain terutama mereka yang dari pekan tidak boleh. 

40. Kita tidak usahlah selalu mengulang-ulang perkara yang boleh memberikan kesan psikologi negatif kepada orang Melayu (kereta dan rumah besar). Kita kena kurangkan bercakap tentang kereta besar dan rumah besar. Sesiapa pun mahu pakai kereta mewah tapi bukan itu matlamatnya. 

41. Orang Melayu sebenarnya kena membantu diri sendiri, kena bekerja keras dan fokus. 

42. Sikap merendah diri perlu sentiasa ada dalam diri seseorang walau setinggi mana pun kejayaan dicapai. 

43. Apa yang saya buat ini (kerja-kerja sosial) semuanya bermula daripada didikan orang tua saya sendiri. 

44. Saya sendiri berhutang sambil berniaga dan buat sumbangan amal jariah. Saya tak mahu tunggu hutang habis baru hendak buat semua ini. Saya takut kalau hutang habis saya pun mati dan apa pun tak sempat saya buat. 

45. Saya biasa saja. Hidup saya tidak berubah, dari dulu beginilah. Saya terima apa saja nikmat yang diberikan oleh Allah. Tidak ada segelas air, ada setengah gelas pun saya bersyukur. 

46. Kalau kerana sedikit bantuan itu mereka lulus peperiksaan dan hidup mereka menjadi lebih baik, saya sudah gembira. Saya tidak boleh buat banyak. Alhamdulillah, lebih baik buat sedikit daripada tidak buat langsung. 

47. Saya tiada minat untuk beli kapal layar atau kapal terbang. Saya fikir kalau saya beli sesuatu biarlah orang ramai boleh pakai. Saya suka kalau saya beli sesuatu yang mahal, biarlah orang ramai boleh pakai. 

48. Saya gembira dapat membantu. Saya mahu orang lain merasai (kesenangan) apa yang saya pernah rasa. Saya tahu bagaimana perasaanya. Saya kata kepada diri saya, apa yang saya dapat saya mesti beri orang lain merasainya sama. Jangan beri kurang, lebih tak mengapa. Itu yang membuat hati saya seronok. 

49. Saya rasa saya ingin menyumbang lebih daripada ini. Saya kata kepada kawan-kawan ini baru warm-up saja; kita belum berjalan lagi. Saya rasa kita terlalu banyak ketinggalan.

Sumber : http://islam-suci.blogspot.com