Menurut laporan
daripada Kementerian Pengajian Tinggi (KPT), hanya 2.4% graduan memilih untuk
menjadi usahawan selepas keluar dari universiti. Majoriti yang menjadi usahawan
ini ialah mereka yang sudah pun belajar selok belok bisnes dan mengusahakannya
sejak di bangku universiti.
Apabila tamat
belajar, bisnes mereka sudah dapat memberikan pulangan lumayan menyebabkan
mereka tidak berminat untuk bekerja makan gaji. Lazimnya, pendapatan bulanan
mereka lebih tinggi daripada jumlah gaji yang ditawarkan kepada graduan baru.
Semasa dijemput
memberikan ceramah keusahawanan di salah sebuah IPTA, Tim Majalah Niaga pernah
diajukan soalan ini daripada salah seorang pelajar, ” Tuan, jika semua mahu
berniaga, siapa pula yang mahu makan gaji?”
Sebenarnya,
apabila melihat peratusan graduan baru menjadi usahawan hanya 2.4%, kita sudah
dapat mengetahui ‘planet’ mana yang masih luas untuk diceburi dan ‘planet’ mana
yang sudah hampir tepu untuk dimasuki. Hampir 98% memilih untuk makan gaji. Ini
bermakna, berlaku lambakan serius di ‘planet makan gaji’ menyebabkan pasaran
kerja tidak dapat menampung semua golongan pencari kerja.
Ini dibuktikan
dengan laporan daripada Kementerian Sumber Manusia yang mencatatkan jumlah
pengangguran sebanyak 411, 400 orang sehingga Ogos 2013.
Soalan yang lebih
wajar ditanya ialah, “Jika hampir 98% memilih makan gaji, siapa pula mahu
berniaga?” Lebih tinggi peratusan menjadi usahawan, lebih banyak peluang
pekerjaan dapat ditawarkan sekaligus dapat mengurangkan kadar pengangguran.

Namun, memulakan bisnes sendiri di usia muda tambahan pula ketika masih menuntut di universiti tidak semudah yang disangka. Pengalaman Tim Majalah Niaga terlibat dengan program keusahawanan IPTA dan IPTS seluruh negara membolehkan kami menghuraikan isu bisnes di kalangan pelajar. Antara soalan yang kerap ditanya mereka ialah…
“Apakah langkah
awal untuk memulakan bisnes dengan keadaan kami kekurangan modal?”
Soalan ini ialah
soalan paling popular. Kami membuat kesimpulan, majoriti golongan muda di IPTA
yang ingin memulakan bisnes sendiri terbahagi kepada dua kategori.
Kategori A:
Memiliki kemahiran teknikal. Contohnya juru foto, pereka laman web, pereka
grafik, melukis kartun atau baik pulih komputer.
Kategori B: Tidak
memiliki kemahiran teknikal seperti di atas. Majoriti berada di dalam kategori
ini.
Penyelesaian Isu Kekurangan Modal
Kedua-dua
kategori ini mempunyai isu yang sama – tidak ada modal mencukupi untuk kos
pemasaran.
Apakah solusi
untuk mengatasi isu ini?
Solusi untuk
golongan kategori A:
Cari 5 hingga 10
orang bakal pelanggan dan tawarkan servis percuma kepada mereka. Usahakan untuk
beri servis terbaik.
Apabila
-pelanggan-pelanggan awal ini berpuas hati, mereka akan berfungsi sebagai ejen
tidak rasmi yang akan mempromosikan servis anda. Bermula dari situ,
pelanggan semakin bertambah dan duit poket kita menebal sedikit demi sedikit
Solusi untuk
golongan kategori B:
Apabila tidak
mempunyai kemahiran teknikal, diri sendiri boleh menjadi orang tengah
mempromosi servis yang ditawarkan oleh golongan kategori A tadi. Contohnya, kos
untuk satu tugasan fotografi ialah RM 500. Promosikan dengan harga RM 600 dan
lebihan RM 100 itu sebagai komisen.
Selain itu, anda
juga boleh menjadi orang tengah dengan cara menjadi ejen menjual produk
fizikal seperti pakaian lelaki, busana muslimah, tudung, produk kecantikan,
kerepek, aksesori lelaki dan wanita dan lain-lain.
Apabila ada
sedikit keuntungan, laburkan balik untuk belajar ilmu-ilmu pengurusan bisnes,
pemasaran dan jualan. Contohnya anda boleh sertai seminar yang dianjurkan oleh
pakar bisnes dan pemasaran. Selain itu, anda juga disaran untuk membeli
buku, e-book, DVD berkaitan perniagaan dan pemasaran.
Di peringkat
awal, utamakan strategi pemasaran melalui Internet berbanding pemasaran
konvensional kerana kosnya lebih jimat, sasaran pelanggan lebih spesifik dan
lebih mudah diautomasikan.
Ilmu dan skil
yang dipelajari boleh terus dipraktiskan untuk meningkatkan keuntungan bisnes
sedia ada.
Dari Bilik Tidur Kepada Pejabat Kecil
Kebanyakan
pelajar IPTA yang menjadi usahawan berjaya mula berkembang menerusi cara ini.
Dalam masa 2 hingga 3 tahun, bisnes mereka sudah semakin stabil.
Sekurang-kurangnya mampu memberikan pendapatan bulanan 4 angka kepada mereka.
Apabila sampai ke
tahap ini, jangan cepat berpuas hati. Keinginan membuak-membuak untuk memiliki
kereta mewah, gajet canggih atau membeli pakej pelancongan eksklusif ke luar
negara harus ditangguhkan terlebih dahulu.
Sebaik-baiknya,
gunakan keuntungan yang diperolehi untuk kembangkan lagi bisnes tersebut.
Pelbagaikan produk atau tambahkan lagi saluran pemasaran. Menahan nafsu
terhadap simbol-simbol kekayaan adalah cabaran paling besar kepada pengusaha
bisnes muda yang sudah mula berjinak-jinak dengan duit banyak.
Daripada ulasan
kami di atas, golongan muda terutamanya yang masih menuntut di IPTA boleh
belajar bagaimana membina bisnes kecil-kecilan sehingga sedikit demi sedikit
menjadi besar. Daripada beroperasi di bilik tidur, ia berkembang menjadi satu
organisasi kecil yang memiliki staf dan pejabat. Selamat berusaha!
Sumber : Majalah Niaga
Sumber : Majalah Niaga
No comments:
Post a Comment