
Setiap perniagaan yang diusahakan mempunyai harapan yang tinggi, agar perniagaan itu terus maju dan berjaya serta dapat mengubah masa depan agar tidak ditindas pihak lain. Tiada sesiapa yang mengharap perniagaan yang dijalankan musnah dengan wang ringgit yang dikeluarkan. Namun, tidak semua perniagaan yang diusahakan mampu menetapkan jumlah pelanggan di dalam atau di luar negara. Tidak kira sebarang jenis perniagaan yang dijalankan samada melibatkan penjualan produk, servis, nasihat dan sebagainya. Kecekalan dan semangat yang kental sangat diperlukan bagi memastikan cita-cita yang diimpikan tercapai. Perniagaan ini bukan sesuatu yang boleh dicapai dengan mudah. Kerana ia mengambil masa dan memakan tempoh yang agak panjang. Sambutan pelanggan dalam perniagaan yang dijalankan mempunyai beberapa cara untuk dicapai.
Beberapa tips ini perlu diamalkan bagi
memastikan perniagaan yang dijalankan menjanjikan pulangan yang lumayan dan
memberangsangkan. Perkara pertama yang perlu kita amalkan adalah tips untuk
mempelajari tentang keadaan kawasan yang menjadi tempat untuk memulakan
perniagaan. Jika kita memulakan perniagaan yang padat dengan penduduk dan
menjadi pusat pentadbiran, hasilnya akan positif. Sebaliknya jika kita membuka
perniagaan di kawasan kampung yang tiada kemudahan dan sambutan ramai maka,
perniagaan kita tidak akan bertahan lama.
Mengkaji tentang suasana dan kedudukan
Kita perlu mengkaji tentang latar dan faktor
kedudukan tempat baru itu. Jika ia merupakan kawasan yang didiami pelajar dan
pekerja, membuka kedai dobi adalah cadangan yang baik. Kerana golongan seperti
ini lebih cenderung untuk menghantar pakaian yang kotor kedai dobi dari dicuci
sendiri. Jangan pula di kawasan seperti itu kita mulakan dengan perniagaan besi
buruk dan barang kitar semula. Selain itu, kawasan seperti ini juga sesuai
dibuka perniagaan makanan dan minuman. Kerana pelajar dan pekerja sentiasa
memerlukan tenaga untuk pergi belajar dan pergi bekerja. Katakan juga keinginan
untuk memulakan kedai alat tulis dan perkhidmatan potostet di kawasan yang
sama. Pendek kata, sesuatu kawasan itu perlu dikaji terlebih dahulu sebelum
memulakan perniagaan. Kerana perniagaan ini bukan untuk suka-suka dan
main-main, sebaliknya sesuatu yang serius dan berat.
Mencari rakan kongsi yang boleh dipercayai
Tips yang seterusnya adalah mencari rakan
kongsi yang boleh dipercayai. Bukan sekadar seorang yang mempunyai wang untuk
dilaburkan sahaja. Setidak-tidaknya minat dan hobi pada benda yang sama akan
menampakkan lagi usaha yang dijalankan. Kerana manusia tidak akan jemu dan
bosan melakukan sesuatu yang menjadi kegemaran mereka. Katakan Yusri dan Lisa
mempunyai minat yang sama dalam bidang penerbitan dan periklanan. Jadi, mereka
telah bersetuju dan melaburkan sejumlah wang untuk memulakan perniagaan ini di
sebuah kawasan yang menjadi tumpuan. Kerana minta dan pendapat dalam bidang
yang sama sangat tinggi, perniagaan mereka semakin maju. Kerana masing-masing
memberi komitmen yang baik dalam perniagaan ini. Bukan hanya seorang sahaja
yang perlu bekerja, sebaliknya kedua-dua belah pihak rakan kongsi ini. Pendek
kata, perniagaan mereka maju kerana minat dan hobi dalam bidang yang sama.
Bermula secara kecil-kecilan
Tidak semua perniagaan itu perlu diusahakan
secara besar-besaran yang menelan belanja sehingga jutaan ringgit. Sekadar
sebagai hobi dan minat untuk memenuhi masa dan boleh dijadikan sebagai pendatan
sambilan sudah memadai. Contohnya Pak Abas yang menjalankan perniagaan menjual
kerepek di kampungnya. Perniagaan ini adalah perniagaan warisan daripada ayahnya
dahulu. Jadi, Pak Abas membantu ayahnya yang telah tua kerana sudah tidak mampu
melakukan pekerjaan berat lagi. Semakin lama, minatnya telah mendalam dalam
dunia perniagaan dan dia menguruskan sepenuhnya perniagaan ini selepas kematian
ayahnya. Pada awal penglibatan dalam dunia penjualan kerepek, arwah ayah Pak
Abas berniaga dengan menaiki motorsikal sahaja. Selepas Pak Abas mengambil
alih, dia telah membuat pinjaman dengan bank untuk mendirikan sebuah kilang
pembuatan kerepak yang terletak di belakang rumahnya. Pendapatanya semakin maju
tambahan pula semasa musim perayaan dan juga musim perkahwinan. Kerana Pak Abas
telah mendapat pengalaman yang banyak semasa membantu arwah ayahnya dahulu.
Kini, Pak Abas telah mendirikan lima buah kilang di daerah dalam negerinya.
Mengupah pekerja yang boleh dipercayai
Setelah mempunyai kedudukan yang baik dalam
perniagaan yang diceburi, pasti kita ingin meluaskan perniagaan itu. Katakan
perniagaan kedai pakaian lelaki dan wanita. membuka cawangan baru memerlukan
lebih ramai perkerja untuk menguruskannya. Maka, kita perlu mengupah orang yang
boleh dipercayai untuk memastikan perniagaan yang diusahakan selama ini tidak
dirosakkan mana-mana pihak yang cuba menjatuhkan kita. Mungkin kita boleh
mengupah jiran yang telah lama kita kenali sebelum memulakan perniagaan itu
atau juga mengupah kawan-kawan yang sudah kita maklum dengan hati budi mereka.
Jika tidak, perniagaan kita akan musnah berikutan ada pihak yang iri hati
dengan kesenangan dan kemewahan yang kita capai. Oleh sebab itu, kita perlu
menjalin perhubungan yang baik dan tidak bermusuh dengan semua orang agar kita
juga selamat dan perniagaan kita terus maju.
Mempunyai strategi yang berkesan
Selain itu, untuk memastikan sesebuah
perniagaan itu berjaya, kita juga perlu mempunyai strategi yang berkesan. Bukan
sahaja perniagaan, setiap pekerjaan yang dilakukan juga memerlukan perancangan
yang sempurna. Jika tidak impian itu akan musnah di pertengahan jalan.
Contohnya memulakan perniagaan dalam bidang ubat-ubatan dan farmasi. Dalam
dunia yang serba canggih dan maju ini, kita sering dihantui dan dibayangi
dengan pelbagai wabak penyakit yang disebabkan penyalahgunaan bahan kimia
industri, wabak penyakit yang disebabkan bahan kimi berlebihan dalam bekalan
makanan seperti sayur dan wabak penyakit berjangkit yang mudah disebarkan
melalui migrasi manusia atau haiwan. Wabak penyakit berbahaya memang sukar
untuk diubati, tetapi kita masih mempunyai peluang untuk mencegahnya. Maka,
perniagaan dalam bidang ubat-ubatan dan farmasi sentiasa mendapat sambutan yang
baik kerana kita tidak mampu menjangka saat kita akan ditimpa penyakit.
Perniagaan ini adalah perniagaan yang mampu memberi keuntungan kepada
pengusaha. Masyarakat hari ini juga semakin bijak untuk menentukan ubat yang
berkesan bagi penghalang penyakit merebak.
Mendengar dan mengikuti kemahuan pelanggan
Pihak yang akan menentukan jatuh bangun
sesebuah perniagaan itu adalah pelanggan dan orang ramai. Maka, hasrat dan
kemahuan mereka perlu diambil kira dan tidak boleh dipandang ringan. Jika
tidak, pelanggan akan lari dan kita yang akan mengalami kerugian kerana gagal
memenuhi kehendak mereka. Sekurang-kurangnya kehendak pelanggan memberikan kita
sesuatu yang baru untuk dicuba dalam dunia perniagaan itu. Contoh yang paling
rapat dengan masyarakat adalah perniagaan francais iaitu McDonalds, yang
berjaya meluaskan perniagaan ke serata dunia. McDonalds di India telah
menyediakan menu khas bagi penduduk India dengan menyediakan burger ayam.
Mereka telah tampil dengan Chicken Maharaja Mac, kerana meraka tidak boleh
memakan daging. Selain itu, di Itali pula, mereka telah menyediakan burger yang
disajikan dengan daging khinzir. Di Norway pula, burger telah disajikan dengan
kepingan daging ikan salmon yang menjadi kegemaran penduduknya. Manakala di
Thailand, ia juga disajikan dengan memasukkan perisa tomyam yang disesuaikan
dengan selera pelanggan. Tidak kurang hebat juga dengan McDonalds di Malaysia.
Bersedia untuk memulakan perniagaan yang besar
Perniagaan yang semakin maju menjadi idaman
semua usahawan. Tetapi adakah kita sudah bersedia untuk memulakan perniagaan ke
peringkat yang seterusnya? Kejayaan kita mampu diukur setelah kita melihat dan
merasakan sambutan yang diterima ramai orang. Katakan dulu Iqbal hanya menjual
laksa dengan menaiki motorsikal sahaja. Selepas 5 tahun bersusah-payah, dia
telah mengumpul wang yang banyak dan membuka sebuah kedai laksa bersama adik
lelakinya. Memang cita-cita Iqbal untuk membuka sebuah kedai laksa daripada
resipi arwah ibunya. Dia telah bersedia dengan sepenuhnya. Dengan pembukaan
kedai baru itu, Iqbal menjadi semakin bersemangat untuk bekerja dan juga untuk
merubah masa depannya. Semakin hari, perniagaannya semakin maju. Kerana Iqbal
sudah mempunyai pelanggan tetap selama 5 tahun sepanjang dia berniaga menaiki
motorsikal roda tiga.
Secara kesimpulannya, tips ini perlu diamalkan
agar perniagaan yang kita ceburi itu menampakkan hasil dengan titik peluh yang
dikorbankan. Kegagalan dan jatuh bangun dalam perniagaan adalah lumrah dan kita
perlu bersedia dengan semua kemungkinan yang bakal tiba. Sekali jatuh bukan
bermakna kita akan jatuh selamanya. Jadikan perkara ini sebagai pembakar
semangat. Pokok pangkal untuk berjaya dalam bidang perniagaan adalah minat yang
mendalam, kegigihan dan juga usaha yang tidak pernah kenal penat lelah. Dalam
erti kata yang mudah, setiap usaha yang kita lakukan pasti akan membuahkan
hasil apabila tiba masanya nanti. Berusaha dan terus berdoa agar urusan kita
dipermudahkan-Nya.
Sumber : www.
usahawan.com
No comments:
Post a Comment