Rasulullah SAW adalah
manusia biasa, bukan malaikat dan bukan pula anak Tuhan atau lain-lainnya.
Beliau secara manusiawi sama dengan kita seluruh umat manusia. Ayahanda beliau
adalah Abdullah bin Abdul Muthallib, ibundanya bernama Aminah, keduanya dari
suku Quraisy di Mekah keturunan Nabi Ismail bin Nabi Ibrahim AS.
Rasulullah
SAW adalah Rasul pilihan Allah yang diutuskan kepada umat manusia untuk
membimbing mereka kepada hidayah Allah; berbuat yang ma’ruf dan mencegah
kemungkaran serta beriman kepada Allah. Sebelum kedatangan Rasulullah SAW,
manusia berada di ambang kehancuran lantaran kebudayaan yang menyebabkan
tertegak nya tamadun ketika itu telah hancur.
Ketika
kemanusiaan sedang berada dalam kesesakan nafas di ambang maut, Allah
mengutuskan Rasulullah SAW untuk membangkitkannya semula dan mengeluarkan umat
manusia dari kegelapan kepada cahaya. Rasulullah SAW memecah belengu-belengu
jahiliah dan khurafat dan mengajak manusia kepada pengabdian yang akan
membebaskan mereka daripada segala bentuk ikatan lain. Dia mengembalikan kepada
mereka kebahagiaan hidup yang sebenarnya.
Itu semua biasa kita baca dalam
buku-buku agama. Yang jarang kita dengar ialah sifat keusahawanan atau
ciri-ciri perniagaan Rasulullah SAW.
Baginda
sudah mula berniaga sejak berumur 12 tahun. Di bawah jagaan Abu Talib as,
Rasulullah saw telah mula mengikut Abdul Talib as berniaga sehingga
ke Syria. Abdul Talib adalah mentor perniagaan kepada Rasulullah ketika muda.
Dan
Rasulullah merupakan ahli perniagaan yang hebat. Pada suatu ketika, di waktu
berniaga, Rasulullah telah memperoleh keuntungan lebih dari usahawan-usahawan
lain dalam rombongan yang sama. Oleh kerana kehebatan Rasulullah saw dalam
perniagaan, Baginda berjumpa dengan isterinya, Siti Khadijah (yang juga seorang
usahawan unggul) ketika berumur 25 tahun.
Perniagaan
adalah perkara yang penting dalam Islam, malah menjadi satu terminologi yang
sering disebut dalam al-Quran, contohnya:
“Sesungguhnya
orang yang selalu membaca kitab Allah dan tetap mendirikan solat serta
mendermakan dari apa yang Kami kurniakan kepada mereka secara sembunyi atau
secara terang-terangan, mereka mengharapkan sejenis
perniagaan yang tidak akan rugi(35:29)”
“Wahai
orang-orang yang beriman. Mahukah Aku tunjukkan sesuatu perniagaan
yang boleh menyelamatkan kamu dari azab seksa yang tidak terperi
sakitnya? Yakni kamu beriman kepada Allah dan rasul-Nya, serta kamu berjuang
membela dan menegakkan ugama Allah dengan harta benda dan diri kamu, yang
demikian itulah yang lebih baik bagi kamu, jika kamu hendak mengetahui
(61:10-11)”
Kenapa
Allah menyebut perniagaan dan bukan pekerjaan? Kerana perniagaan itu ialah
sesuatu yang menguntungkan dan memerlukan usaha tulang empat kerat kita
sendiri. Dan boleh juga merugikan sekiranya tidak dijalankan dengan betul.
Dan
Rasulullah sering disalah anggap sebagai miskin. Tidak, Baginda seorang yang
kaya. Cuma hidup yang dijalaninya tidak seperti orang-orang kaya. Tiada rumah
bertingkat-tingkat, tiada TV Plasma, tiada kereta Ferrari. Tetapi apabila
Baginda keluar berjuang, contohnya berperang. Baju perang, pedang Baginda
adalah dari yang terbaik, kuda-kuda perang adalah dari jenis yang terbaik.
Makna kata seluruh harta Baginda digunakan untuk memperjuangkan Islam, bukan
membuncitkan perut sendiri. Malah Baginda Rasulullah pernah mengikat batu-batu
ke perutnya untuk menahan lapar.
Rasulullah
pernah bersabda tentang pemilikan harta:
“Harta
itu merupakan kekayaan terpuji TETAPI hanya bagi orang yang soleh, kerana orang
yang soleh akan menggunakan hartanya secara bijaksana, tidak dikotori rasa
angkuh yang menghilangkan keberkatan dari Allah.”
Ingin
tahu cara Rasul Terulung kita berniaga? Teruskan membaca.
Tidak Pernah Berdebat
Rasulullah dahulu ketika
berniaga, tidak pernah menyakiti hati peniaga lain. Hal ini diakui oleh mereka
yang pernah berurusan dengan Baginda SAW sebelum Baginda diangkat menjadi rasul
lagi. Dalam satu peristiwa, seorang peniaga bernama Saib bin Ali Saib datang
menemui Rasulullah SAW. Melihat Saib datang, Rasulullah berkata, “Mari, mari.
Selamat datang saudara saya, dan rakan niaga saya yang tidak pernah
bertengkar,” kata Rasulullah . Saib membalas dengan berkata, “Kita tidak pernah
bertengkar sebab tuan peniaga yang sentiasa lurus dan tepat dengan kiraan.”
Teknik Menjual Yang Unik
Mengikut riwayat, Nabi menjual
barang-barang Baginda tidak seperti diamalkan oleh kebanyakan peniaga atau
lain-lain saudagar ketika itu. Baik peniaga Arab atau pun bukan Arab. Biasanya
para peniaga kebanyakannya mereka menjual barang-barang dagangan mereka dengan
meletakkan harga yang setinggi mungkin. Tetapi Nabi menjualnya dengan cara
memberitahu harga pokok dan meminta para pelanggan atau pembeli membayar berapa
harga yang mereka kehendaki.
Dengan cara ini pembeli merasa
puas dan senang hati kerana mereka merasa tidak tertipu oleh peniaga. Lalu
mereka membeli dengan larisnya sehingga barang-barang Nabi paling laku dan
cepat habis berbanding rakan-rakan Baginda yang lain. Selain itu Nabi juga
mengambil sikap menjual pada harga modal apabila sipembelinya seorang yang
benar-benar miskin tetapi memerlukan kepada barang itu. Baginda amat bertimbang
rasa dan amat pengasihan belas kepada sesama manusia. Manakah ada manusia yang
menjual barang-barang dagangannya dengan harga modal?
Sentiasa Senyum
Satu lagi daya penarik yang
luar biasa yang telah menarik para pembeli untuk mendekati barang-barang Nabi
ialah sikap dan wajah Baginda semasa berjualan itu. Selaku seorang insan yang
sedia dijadikan Allah berwajah kacak menawan dan gemar melemparkan senyuman
kepada orang, maka Nabi telah menggunakan kelebihan yang dikurniakan oleh Allah
kepada Baginda itu. Dengan wajah yang manis dan menawan dihiasi pula dengan
senyuman yang manis, pastilah keindahan dan keelokan yang terpancar di wajah
seseorang itu semakin bertambah. Walaupun tutur kata tidak seberapa , tetapi
para pelanggan tetap menggemari orang yang berwajah manis dan selalu memberi
senyuman kepada orang.
Jujur
Baginda bersabda, “Peniaga yang
dapat dipercayai dan beramanah, akan bersama para Nabi, orang-orang yang dapat
dipercayai dan orang-orang yang mati syahid” (Riwayat Al-Imam At-Tarmizi).
Dalam konteks ini, kejujuran ditekankan kerana kejujuran merupakan antara
elemen terpenting dalam perniagaan.Ketika kita berbincang mengenai perniagaan
seorang Muslim, kita sebenarnya sedang membincangkan satu konsep perniagaan
yang membangunkan hubungan kepercayaan di antara peniaga dan pelanggan, dan
piawaian ini tidak boleh dicapai dengan adanya dusta dan penipuan.
Pada suatu hari, Rasulullah
berjalan-jalan di kawasan pasar bandar Madinah. Baginda lalu di hadapan seorang
peniaga yang menjual buah-buahan yang dilonggok-longgokkan. Rasulullah
memeriksa buah-buahan itu dengan memasukkan tangannya ke dalam satu longgokan.
Kemudian Rasulullah menarik tangannya keluar dan menunjukkan jarinya yang basah
kepada peniaga itu. “Apa ini saudara ?” tanya Rasulullah. “Terkena hujan, tuan,” kata
peniaga itu. “Mengapa saudara tidak letakkan buah-buahan yang basah itu di
sebelah atas supaya orang dapat melihatnya ?” kata Rasulullah. Kemudian Baginda
berkata lagi, “Barang siapa menipu, dia bukan pengikut saya.”
Tidak Bersumpah Palsu
Dengan tegas, Rasulullah SAW
mengecam amalan perdagangan yang dipenuhi tipu daya. Apalagi sampai bersumpah
palsu, mengandungi unsur riba atau berbisnes di pasar gelap. Sebab, model
menjalankan bisnes seperti itu tak saja merugikan orang lain, tapi juga membuat
perniagaan yang dijalankan tidak lancar. Hal itu sebagaimana ditegaskan
Rasulullah SAW dalam sebuah hadis, “Penjual dan pembeli memiliki hak pilih
selama belum berpisah. Apabila mereka jujur dan mahu menerangkan (keadaan
barang), mereka akan mendapat berkat dalam jual-beli mereka. Dan jika mereka
bohong dan menutupi (cacat barang) akan dihapuskan keberkatan jual-beli
mereka.” (HR. Muslim) Rasulullah SAW mengajarkan kepada para sahabat untuk
tidak melakukan sumpah, selain mengakibatkan kehilangan berkatnya.
Lemah
Lembut
Baginda
Rasulullah SAW sentiasa mengamalkan sikap baik hati dan lemah lembut
ketika menjalankan perniagaan. Jabir telah meriwayatkan bahawa Rasulullah telah
bersabda yang bermaksud: “Allah SWT mencucuri rahmat kepada orang yang berbuat
baik ketika ia berjual, ketika ia membeli dan ketika ia membuat tuntutan.”
Bukan
Mengejar Harta Semata-mata
Rasulullah
SAW bekerja keras mencari penghidupan yang halal. Baginda menjalankan
perniagaan bukan sahaja untuk menyara kehidupan Baginda tetapi juga untuk
mengukuhkan potensi Baginda agar orang yang kaya tampil ke hadapan untuk
menghulur modal mereka untuk digunakan oleh Baginda bagi tujuan perniagaan.
Muamalah
seperti ini amat digalakkan oleh Islam kerana terdapatnya unsur bantu membantu
di kalangan mereka yang berada dan tidak berada. Firman Allah SWT dalam surah
Al Ma’idah ayat 2: Bermaksud: “Dan hendaklah kamu bantu membantu dalam
perkara-perkara kebaikan dan taqwa dan janganlah kamu sekali-kali bantu
membantu dalam perkara-perkara kejahatan dan permusuhan.”
Fasih
Tutur Kata
Rasulullah
SAW merupakan seorang yang mempunyai kefasihan dalam tutur katanya. Tutur
katanya lembut, lunak didengar, tidak pernah berbohong dan sentiasa jujur. Oleh
itu, tidak hairanlah apabila Baginda mengendalikan perniagaan harta Khadijah,
Baginda memperoleh keuntungan yang banyak. Terdapat sebuah hadis yang
menceritakan kefasihan Baginda yang telah diriwayatkan oleh Al-Tarmizi
dari Syaidatina Aishah: Bermaksud: “Adalah Rasulullah berkata-kata dengan
perkataan yang terang serta jelaslagi tegas, dapat difahami oleh setiap orang
yang mendengarnya (duduk bersama Baginda).
Keuntungan
Maksimum Adalah Mungkin
Walaupun
ada ustaz (penceramah) yang mengatakan untung hanya boleh diambil sekitar 30%
sahaja, namun kata-kata Rasulullah SAW lebih utama untuk kita jadikan pegangan.
Terdapat satu hadis sahih yang menceritakan, seorang sahabat Nabi
membeli dua ekor kambing dengan 1 dinar. Kemudian, sahabat itu
tadi menjual salah seekor kambing itu dengan harga 1 dinar.
Bermaksud, di tangannya ada seekor lagi kambing dan wang sejumlah 1 dinar.
Sahabat itu datang kepada Rasulullah dan kemudian menyatakan apa yang telah
beliau lakukan (menjual dengan cara begitu). Rasulullah tidak berkata apa-apa
melainkan mendoakan agar sahabatnya itu mendapat keberkatan dalam perniagaan yang
dilakukannya.
Ada
lagi hadis sahih lain riwayat Abu Daud di mana Rasulullah ditanya mengapa tidak
ditetapkan keuntungan maksimum (kawal kadar keuntungan). Lantas Rasulullah
menyatakan, itu adalah satu ‘kezaliman’ untuk para peniaga. Daripada dua contoh
di atas berasaskan dalil yang sahih, kita dapati tidak mengapa kita menaikkan
keuntungan sesuatu jualan produk sehingga 100%. Cuma yang dilarang adalah
menyorokkan barangan keperluan asasi manusia pada ketika permintaan mendadak,
dan dijual kembali apabila harganya dinaikkan. Ataupun apabila pihak pemimpin
(kerajaan) menetapkan sesuatu perkara, maka kita wajib mematuhinya.
Maka,
kepada para peniaga, marilah contoh cara-cara bisnes Rasulullah SAW, yakni akan
memperoleh pahala kerana mengikut sunah Baginda.
Wallahualam.
Sumber : http://www.usahawan.com
No comments:
Post a Comment